fb fb fb fb fb

Malaysia kecam pencerobohan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa

(FOTO REUTERS)

PUTRAJAYA, 29 Julai - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan tentera dan pendatang Israel yang diketuai Menteri Keselamatannya ke dalam Masjid Al-Aqsa dan perkarangannya pada Khamis.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, pencerobohan itu jelas mempamerkan tindakan provokasi dan mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa.

(FOTO REUTERS)

"Malaysia tidak akan sekali-kali membenarkan sebarang percubaan tentera penjajah yang bertujuan mengubah status sejarah dan undang-undang Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif dan tidak akan mengiktiraf sebarang hasil daripada tindakan haram terbabit," kata kenyataan itu.

Tambah Wisma Putra, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mempertahankan status undang-undang tapak suci dan meminta rejim Israel bertanggungjawab ke atas pencerobohan itu demi keamanan dan kestabilan.

Malaysia juga kata Wisma Putra akan terus bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Haram Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam.

Malaysia berpegang teguh dengan pendiriannya yang tidak berbelah bahagi bahawa rakyat Palestin berhak untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Media Baharu