AMMAN, 12 Jun- Malaysia menyeru genjatan senjata yang berkesan dan berkekalan di Gaza.
Perkara berkenaan perlu untuk memastikan tindak balas kemanusiaan yang berkesan ke wilayah terkepung itu.
Perkara tersebut ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam persidangan peringkat tinggi bertajuk "Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza" di Jordan.
Menurutnya, adalah mustahil untuk sebarang tindak balas kemanusiaan segera dilaksanakan, tanpa gencatan senjata yang kekal dan berkesan serta penyelesaian politik di Gaza.
Jelasnya, genosid di Gaza telah menghalang bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan rakyat Palestin.
Serangan udara Israel bukan sahaja menyerang konvoi bantuan Malaysia tetapi, merobohkan pusat pengedaran, mengakibatkan kematian sukarelawan dan memusnahkan penghantaran bantuan yang menyelamatkan nyawa.
Datuk Seri Mohamad turut menyeru negara-negara dan pihak berkepentingan, menyokong usaha ke arah gencatan senjata termasuk cadangan tiga fasa oleh Amerika Syarikat.
Malaysia katanya, akan meneruskan sokongan kemanusiaannya.
Kerajaan Malaysia dengan kerjasama lebih 50 NGO, telah menghantar lebih 5,000 tan bantuan penting ke Gaza.