NEW YORK, 18 September - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dijadual mengundi hari ini (Khamis) berhubung usul terbaharu mendesak gencatan senjata serta peningkatan akses kemanusiaan di Gaza.
Langkah tersebut mendapat sokongan majoriti negara anggota meskipun bakal berdepan veto daripada Amerika Syarikat (AS).
Draf berkenaan menuntut akses bantuan dibuka selain mendesak “gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza dan dihormati semua pihak.
Draf tersebut turut menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan.
AS sebelum ini sudah beberapa kali menolak usul berkenaan termasuk pada Jun lalu apabila menggunakan kuasa veto untuk menyokong sekutu rapatnya, Israel.
Seorang diplomat Eropah berkata, cubaan terbaharu itu merupakan penegasan untuk tidak tunduk kepada ancaman veto Washington.
“Jika tidak mencuba langsung, ia hanya memudahkan AS kerana mereka tidak perlu memberi justifikasi dan berdepan 14 ahli majlis serta masyarakat dunia,” katanya.
“Memang ia tidak banyak membantu rakyat Palestin di lapangan, tetapi sekurang-kurangnya kita terus menunjukkan usaha sedang dilakukan", ujarnya.
Veto terdahulu mencetuskan kemarahan luar biasa daripada 14 ahli majlis lain yang semakin lantang menyuarakan kekecewaan terhadap ketidakmampuan mereka memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan penderitaan penduduk Gaza.
Buat pertama kali pada Selasa lalu, sebuah suruhanjaya penyiasatan antarabangsa di bawah mandat PBB mengeluarkan analisis menuduh Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza sejak Oktober 2023 dengan niat untuk “memusnahkan” rakyat Palestin.
Isu itu dijangka menjadi tumpuan utama Sidang Kemuncak Tahunan PBB minggu depan di New York. - REUTERS