LONDON, 18 September - Britain dijangka mengiktiraf secara rasmi kewujudan negara Palestin hujung minggu ini, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menamatkan lawatan ke negara itu, lapor akhbar The Times.
Perdana Menteri, Keir Starmer pada Julai lalu memberi amaran Britain akan mengambil tindakan tersebut sekiranya Israel gagal meredakan penderitaan di Gaza dan mencapai gencatan senjata dalam konfliknya dengan Hamas.
Menurut laporan The Times, pengumuman Britain dijangka dibuat selepas Trump selesai lawatan pada Khamis.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Britain belum mengulas perkara itu.
Starmer yang menerima tekanan daripada sebahagian ahli Parti Buruh untuk mengambil pendirian lebih tegas terhadap Israel, berkata Britain akan mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan jika Israel gagal mengambil langkah untuk mengurangkan penderitaan di Gaza.
Britain sejak sekian lama menyokong dasar penyelesaian dua negara, namun sebelum ini berpendapat ia hanya boleh dilakukan apabila tiba masanya yang sesuai. - REUTERS