LIMA, 18 September - Sekumpulan penyelidik Peru pada Rabu berjaya menemui rangka fosil haiwan laut purba seakan-akan ikan lumba-lumba yang dianggarkan berusia antara lapan hingga 12 juta tahun.
Fosil tersebut ditemui pada Julai lalu di Gurun Ocucaje, selatan ibu kota Lima.
Kawasan tersebut dahulunya merupakan sebahagian daripada Lautan Pasifik.
Ketua pasukan penyelidik berkenaan, Mario Urbina, yang terbabit dalam penemuan berkenaan, menyifatkan lokasi purba itu sebagai “hotel besar,” dengan menjelaskan bahawa banjaran gunung pesisir pantai membentuk penghalang daripada arus kuat.
Keadaan itu menjadikannya sebagai kawasan tenang serta sesuai untuk haiwan laut membiak. Kawasan itu kekal sebagai laut selama kira-kira 45 juta tahun.
Menurut penyelidik dari Institut Geologi, Perlombongan dan Metalurgi Peru (INGEMET), penemuan berkenaan membantu mereka memahami geografi silam dan perubahan garis pantai sejak jutaan tahun lalu.
Padang pasir Peru sememangnya dianggap sebagai ‘perkuburan kaya’ bagi spesies marin purba, dengan fosil jerung putih gergasi berusia sembilan juta tahun turut ditemui awal tahun ini. - REUTERS
