fb fb fb fb fb

Mahkamah Dunia dengar hujah pendudukan Israel di Palestin

Foto fail penunjuk perasaan memegang bendera Palestin ketika mereka berkumpul di luar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)/REUTERS

THE HAGUE, 19 Februari- Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) membuka perbicaraan seminggu mengenai akibat undang-undang pendudukan Israel di wilayah Palestin, dengan lebih 50 negera akan menghadap hakim.

Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki akan bercakap dalam prosiding undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

Pada tahun 2022, Perhimpunan Agung PBB meminta mahkamah memberikan pendapat nasihat, atau tidak mengikat, mengenai pendudukan itu.

Walaupun Israel telah mengabaikan pendapat seperti itu pada masa lalu, ia boleh menimbulkan tekanan politik berhubung perang berterusannya di Gaza, yang telah membunuh kira-kira 29,000 rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan Gaza, sejak 7 Oktober lalu.

Antara negara yang dijadualkan mengambil bahagian dalam pendengaran itu ialah Amerika Syarikat (AS) - penyokong kuat Israel, China, Rusia, Afrika Selatan dan Mesir.

Perbicaraan itu adalah sebahagian daripada desakan Palestin untuk meminta institusi undang-undang antarabangsa memeriksa tindakan kejam yang dilakukan oleh Israel.

Tentera rejim zionis itu turut menyasarkan bandar Gaza Rafah, tempat perlindungan terakhir bagi lebih sejuta rakyat Palestin selepas mereka melarikan diri ke selatan enklaf itu untuk mengelak serangan Israel.

Israel menawan Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur untuk sebuah negara dalam perang 1967.

Perkara itu merupakan kali kedua Perhimpunan Agung PBB meminta ICJ, juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia, untuk mendapatkan pendapat berkaitan wilayah Palestin.

Pada Julai 2004, mahkamah mendapati tembok pemisah Israel di Tebing Barat melanggar undang-undang antarabangsa dan harus dimusnahkan, walaupun ia masih kekal sehingga hari ini.

Para hakim kini telah diminta untuk mengkaji semula "pendudukan, penempatan dan pengilhakan Israel...termasuk langkah-langkah yang bertujuan untuk mengubah komposisi demografi dan status Baitulmaqdis daripada menerima pakai perundangan dan langkah-langkah diskriminasi yang berkaitan."

Sejak 1967, Israel telah meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan tindakan itu memusnahkan rakyat Palestin selain menjejaskan negara itu.

Israel juga telah menggabungkan Baitulmaqdis Timur dalam satu langkah yang tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara.

Perhimpunan Agung juga meminta panel 15 hakim ICJ untuk menasihati berkenaan dasar dan amalan tersebut "mempengaruhi status undang-undang pendudukan" dan apakah akibat undang-undang yang timbul untuk semua negara dan PBB daripada status itu.

Bagaimanapun prosiding pendapat nasihat adalah berasingan daripada kes pembunuhan beramai-ramai yang difailkan Afrika Selatan di Mahkamah Dunia terhadap Israel atas dakwaan pelanggaran Konvensyen Genosid 1948 di Gaza.

Pada akhir Januari ICJ mengarahkan Israel untuk melakukan segala-galanya untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Hasil daripada pendapat nasihat itu tidak akan mengikat secara sah tetapi akan membawa "kekuasaan undang-undang dan kuasa moral yang besar," menurut ICJ.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI