fb fb fb fb fb

Mahkamah Colorado sekat Trump bertanding jawatan presiden

Calon presiden Republikan dan bekas Presiden AS, Donald Trump memberi isyarat semasa dia mengakhiri acara kempen pada 19 Disember 2023 di Waterloo, Iowa/ AFP

LOS ANGELES, 20 Disember- Mahkamah Rayuan di Colorado hari ini memutuskan Donald Trump tidak boleh bertanding pada undian utama presiden berikutan tindakannya dalam serangan ke atas Capitol pada 2021 yang menyebabkan dia hilang kelayakan.

"Majoriti berpendapat Trump hilang kelayakan daripada memegang jawatan presiden mengikut Seksyen Tiga Pindaan ke-14 Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).

"Disebabkan dia hilang kelayakan, ia adalah satu tindakan yang salah di bawah Kod Pilihan Raya untuk Setiausaha Negeri Colorado menyenaraikan beliau sebagai calon dalam undian utama presiden," kata Mahkamah Agung Colorado dalam penghakimannya.

Keputusan itu bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu rayuan pada 4 Januari ini.

Penghakiman Mahkamah Agung Colorado itu hadir selepas sekumpulan pengundi mencabar keputusan awal yang menyatakan sebagai calon presiden, Trump jelas terbabit dalam insiden pada 6 Januari itu sekali gus tidak membenarkannya bertanding semula.

Keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada tafsiran pindaan ke-14 perlembagaan AS yang menghalang seseorang daripada memegang 'mana-mana jawatan... di bawah AS' jika mereka terbabit dalam tindakan pemberontakan selepas mengangkat sumpah sebagai 'pegawai AS', untuk menyokong Perlembagaan.

Bagaimanapun pindaan itu tidak boleh digunakan untuk Trump, kata mahkamah rendah kerana jawatan presiden tidak termasuk dalam jawatan pilihan raya Persekutuan yang terjejas.

Jurucakap Trump menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Colorado itu sebagai 'tidak demokratik' dan berikrar untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Agung AS. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI