(FOTO HIASAN)
RABAT, 14 Ogos- Buat pertama kali dalam sejarah, suhu di Maghribi mencatat rekod mencecah 50 darjah Celsius (120 Fahrenheit).
Stesen meteorologi di bandar pantai selatan Agadir merekodkan suhu pada Jumaat 50.4C, sekali gus merupakan rekod kebangsaan baharu, kata Direktorat Am Meteorologi.
Maghribi telah mengalami beberapa siri gelombang panas sepanjang musim panas dengan suhu melampau.
Suhu tertinggi sebelum ini, 49.9C di bandar Smara Sahara Barat, direkodkan pada 13 Julai, menurut perkhidmatan cuaca.
"Gelombang haba ini disebabkan oleh kemasukan udara kering dan panas dari selatan, menyebabkan kenaikan suhu yang ketara, melepasi purata bulanan sebanyak lima hingga 13 darjah," kata pihak berkuasa meterologi dalam satu kenyataan.
Gelombang haba telah menyebabkan kebakaran hutan sejak beberapa hari kebelakangan ini di utara Maghribi berhampiran Tangier dan lebih jauh ke timur di wilayah Taza, merosakkan hutan tetapi tidak mengakibatkan kemalangan jiwa, wartawan AFP melaporkan.
Julai merupakan bulan paling panas pernah direkodkan di permukaan bumi, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah.
Ia melepasi rekod sebelumnya pada Julai 2019 sebanyak 0.33C.
Sejak 1961, bulan lalu merupakan Julai keempat terpanas di Maghribi.
Jabatan Meteorologi meramalkan sedikit penurunan suhu dalam beberapa hari akan datang merentasi bahagian utara Afrika Utara.-AFP
(Sebuah pesawat pemadam kebakaran Tentera Udara Diraja Maghribi
memadamkan kebakaran di Tangier di utara Maghribi / AFP)