(Logam cair daripada trak terbakar mengalir sebelum menyejuk di atas tanah selepas kebakaran hutan
di Lahaina, barat Maui, Hawaii pada Jumaat lalu/AFP)
KAHULUI, 14 Ogos- Angka kematian di Hawaii, Amerika Syarikat akibat kebakaran hutan meningkat kepada 93 orang dengan jangkaan jumlah itu akan melepasi 100 korban dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Maui, John Pelletier berkata, pihaknya berdepan kesukaran dalam proses pengecaman mayat dengan waris menggesa supaya melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Mangsa yang kami temukan terjejas dengan kesan logam cair (akibat terbakar). Apabila kami mengambil mayat itu... ia hancur berderai," katanya.
"Kami akan mencari (mangsa) secepat yang kami boleh. Tetapi untuk pengetahuan anda, tiga peratus -- itulah (kawasan) yang telah dicari dengan anjing-anjing (pengesan) itu," katanya.
Kebakaran hutan di Hawaii disifatkan paling dahsyat dalam tempoh lebih seabad di negara itu.
Pekan di pulau Maui dilapor hampir musnah sepenuhnya oleh api yang bergerak pantas pada awal pagi Rabu lalu dengan penduduk memberitahu tiada amaran diterima.
Sementara penduduk di Lahaina berkata, mereka mengetahui kebakaran apabila melihat sendiri api, manakala yang lain mengetahui selepas melihat jiran bertempiaran melarikan diri.
"Gunung di belakang kami terbakar dan tiada siapa memberitahu kami. Anda tahu bila kami sedar ada kebakaran? Apabila ia berada di seberang jalan dari (rumah) kami," kata Vilma Reed, 63, penduduk.
Ketika ditanya, mengapa tiada satu pun siren di pulau itu diaktifkan, Senator Hawaii, Mazie Hirono menjawab ringkas bahawa akan menunggu hasil siasatan oleh peguam negara.
"Buat masa ini, saya tidak boleh memberi sebarang komen. Tumpuan sekarang adalah keperluan untuk menyelamat," katanya.
Lebih 2,200 bangunan telah rosak atau musnah di Lahaina yang mengakibatkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal yang dianggarkan menelan kerugian sejumlah $5.5 bilion.
Polis juga memberi amaran kepada penduduk supaya tidak masuk ke kawasan paling terjejas di Lahaina atau berdepan denda, bahkan boleh dipenjarakan.
Amaran dikeluarkan selepas ramai penduduk cuba memasuki kawasan itu untuk mencari sendiri haiwan peliharaan atau orang tersayang yang hilang. -AFP
(FOTO AFP)
Berita berkaitan;
Kebakaran hutan musnahkan Maui, Hawaii dan berpuluh-puluh maut
Angka kematian kebakaran hutan Hawaii meningkat lebih 80
Kebakaran hutan di Hawaii akibatkan enam kematian