GAMBAR TWITTER
ANTANANARIVO, 23 Februari- Pihak berkuasa dan petugas bantuan sedang bertungkus-lumus melindungi penduduk Madagascar yang bakal berdepan situasi ribut tropika keempat dalam tempoh terdekat.
Taufan Emnati dijangka melanda selatan Madagascar Selasa ini, beberapa minggu selepas pulau berkenaan dibadai Taufan Batsirai pada 5 Februari lalu sehingga mengorbankan 120 nyawa.
Pada masa sama, kira-kira 21,000 penduduk lagi kehilangan tempat tinggal selepas ribut tropika Ana membadai hujung Januari lalu, selain 5,000 lagi terkesan akibat ribut tropika Dumako minggu lalu.
"Kami sedang mengejar masa untuk melindungi semua yang terkesan akibat tiga bencana sebelum dibadai Emnati," kata jurucakap Agensi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jens Laerke.
Program Makanan Dunia (WFP) PBB juga kini sedang menyediakan bekalan makanan serta bantuan lain untuk disalurkan kepada mangsa pasca taufan berkenaan.
Sementara itu, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) PBB menyifatkan Emnati sebagai taufan yang berskala besar lagi berbahaya dan berupaya membadai pada kategori tiga atau empat.
Malah, kelajuan anginnya boleh mencapai sehingga 200 kilometer sejam (km/j).
Meteo-France sebelum ini meramalkan taufan Emnati yang kini berada pada jarak kira-kira 100 kilometer dari pantai timur Madagascar, bakal menyebabkan hujan lebat bersama angin kencang antara 150 ke 200 km/j. -AFP