(Presiden Emmanuel Macron menghadiri mesyuarat kabinet di Istana Elysee
di Paris, Perancis/REUTERS)
PARIS, 25 Ogos- Presiden Emmanuel Macron memberi amaran bahawa Perancis bakal menghadapi "pengorbanan" dalam era baharu yang ditandai dengan perubahan iklim dan perang di Eropah.
Selepas musim panas Perancis dilanda kemarau, kebakaran hutan besar-besaran dan ribut maut, serta kehilangan nyawa yang berterusan di Ukraine, pemimpin berusia 44 tahun itu menyampaikan mesej suram dalam mesyuarat kabinet pertama selepas cuti-cuti tradisi Ogos.
"Saya percaya bahawa hidup kita dalam proses melalui titik kritis atau pergolakan besar. Hidup kita sedang melalui apa yang kelihatan seperti akhir kepada kemewahan yang melimpah," katanya.
Ucapan itu dilihat sebagai gesaan kepada rakyat agar bersedia menghadapi musim sejuk yang sukar, harga tenaga yang meningkat dengan mendadak dan banyak keluarga bergelut untuk menampung kos sara hidup.
Menjelang enam bulan pencerobohan Moscow terhadap Ukraine, Macron telah berikrar bahawa sokongan Eropah kepada Kiev akan bertahan "untuk jangka panjang" walaupun memberi kesan kepada pengguna Eropah.
(Macron beri amaran rakyat Perancis perlu sedia 'berkorban' dalam menghadapi era baharu/AFP)
"Pengorbanan diperlukan untuk mempertahankan kebebasan yang telah sekian lama menjadi sistem kehidupan kita," kata beliau kepada para menteri, mengulangi kenyataan yang dibuatnya pada 19 Ogos semasa percutian di selatan Perancis.
Macron, 44 tahun, menyeru rakyat Perancis agar "bersedia membayar harga kebebasan".
Beliau juga merujuk gelombang haba yang melanda Perancis sepanjang musim panas dan meningkatkan kebimbangan mengenai kadar perubahan iklim.
"Berdepan dengan ini kami mempunyai tugas, yang pertama adalah bercakap terus terang dan sangat jelas, tanpa menimbulkan kebimbangan melampau," tambahnya. -AFP