fb fb fb fb fb

Lula jalani pembedahan kedua, cecair di kepala dikeluarkan

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva / Foto Reuters

SAO PAULO, 13 Disember – Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, berjaya menjalani prosedur untuk mengeluarkan cecair di kepalanya pada Khamis, menurut kenyataan doktor.

Prosedur tersebut merupakan sebahagian daripada proses pemulihan selepas pembedahan awal minggu ini untuk merawat pendarahan di kepalanya.

Menerusi kenyataan terkini, doktor menyatakan Lula, 79, kini berada dalam keadaan “stabil dan bercakap seperti biasa”.

Proses mengeluarkan saluran tersebut juga dilaporkan berjalan tanpa sebarang komplikasi.

Keadaan kesihatan Presiden Lula menimbulkan persoalan mengenai kemampuannya bertanding semula pada Pilihan Raya Presiden 2026.

Bagaimanapun, seorang pembantu kanan mengesahkan bahawa Lula akan kekal sebagai calon Parti Buruh yang memerintah.

Lula dijangka keluar dari Hospital Sirio-Libanes di Sao Paulo awal minggu depan, dan mungkin kembali melaksanakan tugas sebagai Presiden, kata doktor peribadinya, Dr. Roberto Kalil Filho.

Beliau kini masih dirawat di unit rawatan rapi, menurut kenyataan perubatan terkini.

Jurucakap presiden, Paulo Pimenta, dalam temu bual bersama CNN Brasil, menyatakan Lula akan bertanding pada pilihan raya Oktober 2026.

Beliau turut menolak kritikan bahawa usia dan kesihatan Presiden akan menjadi penghalang.

Lula kini sedang menjalani penggal ketiga bukan berturutan sebagai Presiden, dan akan berusia 81 tahun pada pilihan raya akan datang.

Satu tinjauan pendapat oleh Genial/Quaest, yang dikeluarkan sebelum Lula dimasukkan ke hospital, menunjukkan bahawa 52 peratus rakyat Brazil berpendapat Lula tidak seharusnya bertanding semula, berbanding 58 peratus dalam tinjauan pada Oktober.

Namun, peratusan yang menyokong pencalonannya meningkat kepada 45 peratus daripada 40 peratus sebelumnya.

Dalam kemungkinan pusingan kedua pilihan raya, Lula diramalkan menang dengan lebih 50 peratus undi, menewaskan bekas presiden Jair Bolsonaro atau gabenor konservatif dari Sao Paulo dan Goias, jika mereka bertanding.

Ketiadaan Lula dalam persaingan akan memberi peluang kepada golongan berhaluan kiri, memandangkan beliau tidak mempunyai pengganti yang jelas dalam Parti Buruhnya.

Tambahan pula, pola pemikiran pengundi Brazil kini semakin cenderung ke arah konservatif.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN