fb fb fb fb fb

Blinken minta Erdogan lindungi orang awam Syria

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken (kiri) ketika pertemuan bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) / Foto Reuters

ANKARA, 13 Disember – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, menyeru Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan supaya memastikan keselamatan orang awam Syria selepas kumpulan penentang kerajaan yang disokong Ankara berjaya menggulingkan kerajaan Damsyik baru-baru ini.

Pertemuan antara Blinken dan Erdogan berlangsung selama lebih sejam di lapangan terbang ibu negara Ankara, sejurus selepas Erdogan menghantar Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.

Menurut kenyataan jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, Blinken menegaskan keperluan semua pihak di Syria menghormati hak asasi manusia, mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan mengambil langkah munasabah untuk melindungi orang awam, termasuk golongan minoriti.

Turki menekankan kebimbangan terhadap keselamatannya selepas pergolakan di Syria, di mana ia telah lama berhadapan dengan pasukan Kurdi yang disokong Washington, dilihat sebagai elemen penting dalam memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pergolakan terbaru menyaksikan kumpulan penentang kerajaan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) berjaya menumbangkan pemimpin Syria, Bashar al-Assad, yang dikenali sebagai tokoh autoritarian dan anggota masyarakat Alawit yang sekular.

Blinken turut menekankan kepada Erdogan tentang kepentingan memastikan gabungan antarabangsa untuk mengalahkan IS daripada terus menjalankan misi kritikalnya.

Bercakap kepada wartawan di Aqaba, Jordan, sebelum berlepas ke Turki, Blinken mengakui wujudnya "kepentingan yang jelas" bagi Turki berhubung ancaman Parti Pekerja Kurdis (PKK), kumpulan pejuang Kurdi yang dikaitkan Ankara dengan gerila Kurdi Syria.

"Namun, kami juga mahu mengelakkan tercetusnya konflik tambahan di Syria," ujar Blinken.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS adalah penting dalam memastikan IS tidak kembali bangkit.

Blinken, yang dijangka meninggalkan jawatannya bulan depan selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya, turut menyeru agar proses pembentukan kerajaan baharu Syria bersifat inklusif dan menghormati semua komuniti.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN