(Pasukan polis membuat kawalan ketat selepas kejadian tembak secara rambang
yang mengorbankan tiga nyawa pada Ahad lalu/FOTO AFP)
COPENHAGEN, 5 Julai - Suspek utama kejadian tembakan yang mengorbankan tiga nyawa di sebuah pasar raya popular di Denmak, pada Ahad direman di sebuah kemudahan penjagaan psikiatri, semalam.
Menurut Polis Copenhagen dalam satu kenyataan, suspek berusia 22 tahun itu direman di sebuah wad psikiatri tertutup.
Suspek juga akan ditahan sekurang-kurangnya 24 hari dan tempoh berkenaan boleh dilanjutkan.
Pada tengah hari Isnin, pemuda berkenaan dibawa ke Mahkamah Daerah Copenhagen untuk pertuduhan kes sebelum prosiding diteruskan secara tertutup.
Suspek yang ditahan memakai baju T berwarna biru dan mendengar pertuduhan membunuh yang dibacakan terhadapnya.
Polis Denmark mendedahkan bahawa suspek dikenali dalam kalangan perkhidmatan kesihatan mental.
Pada Ahad lalu, suspek yang dilengkapi beberapa senjata membabitkan sebilah pisau dan sepucuk senapang serta pistol tanpa lesen telah menyerang beberapa orang mangsa yang dilakukan secara rambang.
(Pengamal media sedang membuat liputan di luar sebuah pasar raya
sehari selepas kejadian tembakan maut di Copenhagen, Denmark pada 4 Julai/FOTO AFP)
Semalam, Ketua Polis Copenhagen, Soren Thomassen yang belum dapat mengulas mengenai motif kejadian memberitahu media tiada sebarang petunjuk perbuatan suspek bahawa ia adalah tindakan ganas.
Dalam insiden waktu tengah hari itu, tiga mangsa maut adalah masing-masing seorang remaja lelaki dan perempuan warga Denmark berusia 17 tahun, serta seorang warga Russia berumur 47 tahun. - AFP