fb fb fb fb fb

Loji nuklear Kursk terbakar selepas dron Ukraine ditembak jatuh

Loji nuklear Kursk di barat Rusia dilaporkan terbakar selepas peranti dron Ukraine meletup sebaik terkena sasaran, namun radiasi disahkan kekal normal. Foto- AFP

MOSCOW, 24 Ogos - Kebakaran tercetus di loji tenaga nuklear Rusia pada Ahad selepas tentera negara itu menembak jatuh sebuah dron Ukraine berhampiran sempadan.

Menurut kenyataan pihak pengurusan loji berkenaan, peranti tersebut meletup sebaik terkena sasaran di Loji Tenaga Nuklear Kursk, sekali gus mencetuskan kebakaran yang kemudian berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun kapasiti operasi loji berkenaan dikurangkan.

Loji itu dalam catatan di Telegram turut menegaskan bahawa paras radiasi di kawasan industri dan persekitarannya kekal pada tahap normal.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebelum ini beberapa kali memberi amaran berhubung bahaya pertempuran di sekitar kawasan loji nuklear sejak Rusia melancarkan serangan ketenteraan ke atas Ukraine pada Februari 2022.

Loji Kursk terletak berhampiran sempadan Rusia–Ukraine, di sebelah barat bandar Kursk yang mempunyai lebih 440,000 penduduk.

Sehingga kini, Rusia menguasai hampir satu perlima wilayah Ukraine termasuk Semenanjung Crimea yang ditawan pada 2014. Konflik itu telah meragut puluhan ribu nyawa, memaksa jutaan penduduk meninggalkan rumah serta memusnahkan bandar dan kampung di timur serta selatan Ukraine.

Presiden Vladimir Putin berulang kali menolak desakan Kyiv dan Barat supaya melaksanakan gencatan senjata segera tanpa syarat.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN