WASHINGTON, 12 Februari- Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin, yang sedang melawan kanser prostat, menyerahkan tugasnya kepada timbalannya beberapa jam selepas dia dibawa ke hospital kerana dilaporkan mengalami masalah pundi kencing' kata seorang jurucakap Ahad.
Timbalan Setiausaha Pertahanan Kathleen Hicks memangku tugas yang diamanahkan itu, menurut jurucakap Pentagon, Pat Ryder dalam satu kenyataan.
Tambahnya Austin masih menerima rawatan dan White House serta Kongres telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Pengumuman itu dibuat beberapa minggu selepas timbul kekecohan mengenai kerahsiaan Austin yang tidak memaklumkan dirinya dimasukkan ke hospital untuk menjalankan rawatan kanser.
Malah, dia juga merahsiakannya daripada pengetahuan Presiden Joe Biden.
Kali ini, orang ramai dimaklumkan kira-kira dua jam selepas dia dihantar ke hospital pada petang Ahad.
Austin dibawa oleh pengawal keselamatannya ke Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed.
Timbalan Setiausaha Pertahanan dan Pengerusi Ketua Staf Bersama juga telah dimaklumkan. -AFP