ZAHEDAN, 26 Julai – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala 13 yang lain cedera dalam serangan kumpulan bersenjata ke atas sebuah mahkamah di wilayah Sistan-Baluchestan yang bergolak di tenggara Iran, lapor media tempatan.
Menurut seorang pegawai kanan polis kepada agensi berita IRNA, tiga penyerang turut terbunuh dalam pertempuran berikutnya dengan pasukan keselamatan.
Beliau berkata seorang ibu dan seorang kanak-kanak adalah antara mangsa yang terbunuh apabila penyerang melemparkan bom tangan ke dalam bangunan mahkamah di Zahedan, ibu negeri Sistan-Baluchestan.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di akaun Telegram, Jaish al-Adl mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut dan menggesa semua orang awam supaya segera mengosongkan kawasan pertempuran demi keselamatan.
Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia Baluch HAALVSH, yang memetik kenyataan saksi melaporkan beberapa kakitangan kehakiman dan anggota keselamatan dilaporkan terbunuh dan cedera apabila penyerang menceroboh masuk ke bilik hakim.
Wilayah Sistan-Baluchestan, yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, adalah tempat tinggal golongan minoriti Baluch di Iran, yang telah lama mendakwa dipinggirkan dari segi ekonomi dan politik.
Wilayah itu sering menjadi lokasi pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata.- REUTERS