ODDAR MEANCHEY, 26 Julai - Kenderaan tentera Kemboja dilaporkan berada di wilayah Oddar Meanchey berhampiran sempadan Thailand pada Sabtu, ketika konflik antara kedua-dua negara terus meningkat.
Beberapa trak tentera yang membawa muatan ditutup dengan kain serta dikawal rapi oleh anggota tentera dilihat bergerak melalui jalan utama, dengan sebahagian laluan disekat bagi memberi laluan kepada konvoi.
Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan tujuan pergerakan tersebut atau jumlah sebenar trak yang terlibat.
Sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan terkorban, manakala lebih 130,000 lagi kehilangan tempat tinggal dalam pertempuran terburuk antara dua negara itu dalam tempoh 13 tahun.
Sementara itu, Tentera Laut Thailand turut melaporkan bahawa satu lagi pertempuran tercetus di wilayah pesisir pantai Trat pada awal pagi Sabtu, iaitu lokasi yang terletak lebih 100 kilometer dari zon-zon konflik utama sebelum ini, menandakan pertempuran semakin meluas ke kawasan baharu.
Thailand dan Kemboja bertelingkah sejak sekian lama mengenai hak milik kawasan sempadan yang tidak ditanda secara rasmi sepanjang 817 kilometer sempadan kedua-dua negara.
Isu pemilikan kuil purba Hindu Ta Moan Thom dan Preah Vihear yang dibina pada abad ke-11 sering menjadi punca konflik.-REUTERS