fb fb fb fb fb

La Union isytihar darurat selepas dua kali dilanda Taufan Co-may

Taufan Co-may, taufan kelapan yang melanda Filipina tahun ini.

MANILA, 26 Julai - Wilayah La Union di utara Filipina mengisytiharkan darurat pada Jumaat berikutan kemusnahan besar yang dialami akibat Taufan Co-may yang melanda dua kali dalam tempoh kurang 12 jam.

Taufan Co-may, taufan kelapan yang melanda negara itu tahun ini, pertama kali mendarat di Agno, wilayah Pangasinan pada malam Khamis dengan kelajuan angin mencecah 120 kilometer sejam. Ia kemudian mendarat buat kali kedua di wilayah Ilocos Sur sekitar pukul 5.10 pagi Jumaat, membawa hujan lebat dan angin kencang.

La Union, yang terletak di antara dua kawasan pendaratan, mengalami kerosakan paling ketara dengan pokok tumbang, bekalan elektrik terputus serta kemusnahan harta benda, khususnya di kawasan pesisir San Juan, destinasi pelancongan utama wilayah itu.

Menurut Ketua Pejabat Pengurusan Risiko dan Pengurangan Bencana Perbandaran San Juan, Gino Mabalot, pihaknya telah meminta syarikat utiliti memberi keutamaan kepada San Juan dalam kerja-kerja pemulihan.

“San Juan merupakan antara tarikan pelancongan utama di La Union. Kami berharap bekalan air dan akses internet dapat dipulihkan segera demi keperluan penduduk,” katanya.

Hujan berterusan menyebabkan kerja-kerja baik pulih tertangguh, manakala beberapa kawasan rendah di pusat bandar dilanda banjir, mengakibatkan gangguan trafik dan operasi harian penduduk.

Pengisytiharan darurat membolehkan pihak berkuasa mempercepatkan respons kecemasan serta memudahkan penyaluran dana dan sumber bantuan dengan lebih cekap.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA), Taufan Co-may telah melemah menjadi tekanan tropika pada pukul 2.00 pagi Sabtu dan keluar sepenuhnya dari Kawasan Tanggungjawab Filipina (PAR) pada pukul 7.10 pagi hari sama.

TUN JULIA MOHD TAHIR