fb fb fb fb fb

18 maut, 24 cedera dalam nahas bas di Peru

Pelbagai anggota pasukan penyelamat dan polis sedang melakukan pencarian di celah-celah serpihan bas.

LIMA, 26 Julai - Sekurang-kurangnya 18 maut manakala 24 lagi cedera selepas sebuah bas dua tingkat terbalik dan terjunam ke dalam cerun di kawasan pergunungan Andes, wilayah Junin, tengah Peru, pada Jumaat.

Bas yang membawa 66 penumpang itu dilaporkan dalam perjalanan dari ibu negara Lima menuju ke kawasan Amazon sebelum terbabas di daerah Palca, menurut Pengarah Kesihatan Wilayah Junin, Clifor Curipaco Lopez.

Daripada jumlah korban, 16 disahkan maut di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

Operasi menyelamat yang melibatkan anggota polis, bomba serta penduduk setempat giat dijalankan, dengan usaha mencari mangsa di celah-celah serpihan bas yang terbelah dua akibat impak nahas.

Beberapa mangsa terselamat mendakwa kenderaan itu mengalami masalah mekanikal sebelum kemalangan berlaku, namun pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi.

Insiden ini menambah rekod kemalangan maut jalan raya di Peru yang semakin membimbangkan. Kajian oleh Pejabat Peguam Negara mendapati punca utama kemalangan jalan raya di negara itu ialah kecuaian pemandu dan pemanduan melebihi had laju.

Sistem pengangkutan darat di Peru juga dilaporkan lemah dari segi pemantauan keselamatan, dengan bantuan kecemasan sering lewat dan tidak terkoordinasi. Pada 2024, laporan tidak rasmi mencatatkan negara itu mencatatkan kira-kira 3,173 kematian akibat kemalangan jalan raya.

TUN JULIA MOHD TAHIR