fb fb fb fb fb

Australia, UK meterai Perjanjian Geelong untuk bina kapal selam nuklear

Setiausaha Pertahanan Britain, John Healey dan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles selepas menandatangani perjanjian.

GEELONG, 26 Julai - Australia dan United Kingdom menandatangani Perjanjian Geelong, satu perjanjian pertahanan bersejarah yang akan mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan kapal selam berkuasa nuklear untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, bersama Setiausaha Pertahanan Britain, John Healey, dalam satu majlis rasmi di Galeri Geelong, Australia.

Menurut Marles, projek pembangunan bersama itu akan menjadi usaha industri pertahanan terbesar dalam sejarah Australia, melepasi skala pembinaan projek Snowy Hydro. Ia juga disifatkan sebagai peningkatan ketenteraan paling signifikan sejak penubuhan Tentera Laut Australia pada tahun 1913.

“Ia bukan sahaja akan menghasilkan kelas kapal selam baharu yang akan dikendalikan bersama, malah akan membentuk kekuatan ketenteraan masa depan negara,” katanya.

Sementara itu, John Healey menyifatkan perjanjian itu sebagai simbol kerjasama mendalam dua negara dan menyumbang kepada keselamatan jangka panjang rantau Indo-Pasifik serta memperkukuh NATO.

“Ini adalah kapal selam penyerang paling berkuasa yang pernah dibangunkan oleh kedua-dua negara. Ia akan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan dan memberi manfaat ekonomi bernilai sehingga 20 bilion paun kepada Britain dalam tempoh 25 tahun,” katanya.

Perjanjian itu turut merangkumi peningkatan kunjungan kapal selam nuklear kelas Astute milik Britain ke pelabuhan di Australia Barat.

Kerjasama merupakan sebahagian daripada inisiatif AUKUS, pakatan keselamatan tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang dimeterai pada 2021, bertujuan menangani pengaruh strategik China di rantau Indo-Pasifik.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump telah memulakan semakan semula terhadap pakatan AUKUS bulan lalu bagi menilai sejauh mana ia menepati dasar “America First”. Pihak Australia tetap yakin bahawa perjanjian itu akan diteruskan.

TUN JULIA MOHD TAHIR