(Fenomena hujan lebat dan angin kencang menyebabkan berlakunya
tanah runtuh, pokok tumbang,jalan mendap dan banjir di tujuh daerah/AFP)
JAKARTA, 10 Oktober- Lima maut dalam bencana banjir dan tanah runtuh susulan cuaca ekstrem yang melanda sebahagian besar wilayah Bali, Indonesia, menurut Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD).
Ketua BPBD Bali, Rentin berkata hujan lebat serta angin kencang melanda sejak 12.30 tengah malam hingga 6.30 pagi waktu tempatan pada Jumaat.
Fenomena itu menyebabkan berlakunya tanah runtuh, pokok tumbang, jalan mendap dan banjir di tujuh daerah, katanya dalam satu kenyataan.
Dua buah kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dan jalan mendap di Desa Gunaksa, Bangli menyebabkan tiga orang maut dan tiga lagi cedera.
Seorang pekerja pembinaan maut tertimbus akibat tanah runtuh yang berlaku di tapak projek jalan raya di Desa Taro, Gianyar, manakala mayat mangsa banjir yang dihanyutkan arus deras ditemukan di Kota Denpasar.
(Lima maut dalam bencana banjir dan tanah runtuh susulan cuaca ekstrem yang
melandasebahagian besar wilayah Bali, Indonesia/FOTO FB BADAN NASIONAL
PENANGGULANGAN BENCANA)
Pemerintah Wilayah Bali memberikan pampasan 15 juta rupiah (RM4,548) kepada keluarga mangsa dan 10 juta rupiah untuk kos perubatan untuk yang cedera.
Rentin berkata 33 pelancong termasuk 23 pelancong asing dipindahkan setelah penginapan mereka di Seminyak, Badung ditenggelami banjir hampir satu meter.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengeluarkan amaran cuaca ekstrem diramal melanda pulau percutian itu mulai semalam sehingga 15 Oktober -BERNAMA