fb fb fb fb fb

Lima anggota penyelamat terbunuh susulan taufan Noru di Filipina

(FOTO AFP)

SAN ILDEFONSO, 26 September- Lima anggota penyelamat terbunuh ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir susulan taufan paling kuat melanda Filipina pada tahun ini.

Pihak berkuasa mengesahkan, ia kes kematian pertama dalam kejadian taufan kali ini.

Taufan pada Ahad sehingga Isnin yang melanda Pulau Luzon itu membawa angin kencang dan hujan lebat, menyebabkan banyak pokok tumbang dan banjir di kawasan rendah.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan diterima mengenai kerosakan serius.

Ke semua lima anggota penyelamat itu terbunuh ketika berada di San Miguel dalam wilayah Bulacan, yang terletak berhampiran ibu negara Manila.

“Pihak berkuasa telah menugaskan mereka ke kawasan banjir,” kata Leftenan Kolonel Romualdo Andres, Ketua Polis San Miguel.

Menurut Andres, ketika kejadian mereka sedang mengharungi air banjir, namun secara tiba-tiba tembok di laluan mereka runtuh, menyebabkan mangsa dihanyutkan arus deras.


(Penduduk mengharungi air banjir selepas taufan Noru melanda San Ildefonso,
wilayah Bulacan pada 26 September 2022/AFP)

Filipina sememangnya kerap dilanda ribut kuat, dan para saintis telah memberi amaran akan risiko kejadian lebih kuat apabila suhu dunia semakin panas kesan perubahan iklim.

Taudan Noru melanda negara kepulauan itu pada Ahad selepas peningkatan “intensiti taufan” yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata peramal cuaca negeri.

Noru mendarat di kawasan kira-kira 100 kilometer timur laut Manila, kawasan padat penduduk dan selepas itu menjadi semakin lemah ketika melintasi kawasan banjaran, gunung, ladang kelapa dan kawasan padi.

Sebelum taufan membadai, hampir 75,000 penduduk telah dipindahkan selaras amaran agensi meteorologi tempatan bahawa hujan lebat berisiko menyebabkan "banjir serius" di kawasan rendah dan terdedah, selian mencetuskan tanah runtuh dan memusnahkan tanaman. 

Namun pagi ini, tidak ada tanda-tanda kerosakan serius yang dibimbangi penduduk, berlaku.

“Kami telah bersedia atas semua ini,” Kata Presiden Ferdinand Marcos Jr. ketika taklimat bersama agensi bencana negara.

“Anda mungkin merasakan bahawa kami telah bertindak keterlaluan.” -AFP

Media Baharu