fb fb fb fb fb

Berlian 'Fortune Pink' jarang ditemui dilelong di Geneva

(Berlian merah jambu yang dijangka mencecah harga sehingga AS$35 juta (RM161 juta)
pada lelongan Christie’s di Geneva November ini/AFP)

GENEVA, 26 September- Batu permata gergasi yang sangat jarang ditemui, Fortune Pink, akan dilelong di Geneva pada November ini dan dijangka diberi harga bidaan sehingga AS$35 juta (RM161 juta).

Syarikat lelongan Christie's hari ini berkata berlian seberat lebih 18 karat berwarna cerah itu adalah berlian merah jambu berbentuk buah pir terbesar yang pernah ditawarkan untuk lelongan.

Berlian itu, pertama kali dilelong pada 8 November, dianggarkan bernilai antara AS$25 juta (RM115 juta) dan AS$35 juta.

Batu permata berbentuk titisan air berwarna merah jambu berkilauan, dipasang pada cincin dan diapit berlian putih besar di kedua-dua sisinya, memiliki berat 18.18 karat.

Christie's memaklumkan, angka itu dianggap sebagai batu bertuah di Asia, di mana ia melambangkan dan dianggap dapat memberi kemakmuran kepada pemiliknya.

Sehubungan itu berlian berkenaan dijangka 'menarik minat pengumpul batu dari seluruh dunia.

"Dengan berat 18.18 karat, berat itu sebenarnya membawa tuah kepada pemilik baharu," kata pakar barang kemas kanan Christie's, Angela Berden, kepada AFP.

"Ia adalah batu yang cantik, sangat jarang untuk menemukan berlian merah jambu, berlian merah jambu terang, sebesar ini.

(Batu permata berbentuk titisan air berwarna merah jambu berkilauan, dipasang pada cincin dan diapit berlian
putih besar di kedua-dua sisinya, memiliki berat 18.18 karat/AFP)

"Ketepuan warna batu ini sangat sukar ditemui di alam semula jadi dan apabila anda menemukan kristal dengan berat itu, beserta warna sepertinya, ia sangat jarang berlaku.

"Saya tidak tahu di mana untuk mencari permata yang lain seperti ini buat masa sekarang," katanya.

Walaupun 'Fortune Pink' adalah berlian berbentuk pir merah jambu terang yang terbesar untuk dilelong, berlian merah jambu berbentuk kusyen adalah paling besar pernah dilelong sebelum ini.

Pada 2018, Christie's menjual Winston Pink Legacy seberat 18.96 karat, meraih lebih AS$50 juta (RM230 juta), harga per karat tertinggi pernah dibayar untuk batu seumpamanya.

Sementara itu, berlian gergasi Raj Pink, dengan berat penuh 37.3 karat, gagal dijual pada lelongan Sotheby setahun sebelumnya, di mana ia dianggarkan bernilai sehingga AS$30 juta (RM138 juta). -AFP

Media Baharu