MEXICO CITY, 18 Disember- Dua tentera Mexico maut manakala lima lagi cedera dalam satu letupan yang disebabkan oleh sebuah periuk api buatan yang dipercayai ditanam oleh kumpulan jenayah, menurut kenyataan tentera pada Selasa.
Letupan berlaku pada Isnin di Cotija, negeri Michoacan ketika pasukan tentera sedang menjalankan siasatan terhadap laporan kehadiran jenayah di kawasan tersebut, kata Menteri Pertahanan Ricardo Trevilla.
"Peranti letupan buatan meletup. Malangnya, dua tentera terkorban dan lima lagi cedera," katanya dalam satu sidang media.
Sebelum letupan, pasukan tentera menemukan mayat yang dibunuh dengan kejam dan dalam keadaan terpotong beberapa bahagian, milik tiga individu di lokasi kejadian, jelas Trevilla.
Peranti letupan tersebut dipercayai ditanam oleh ahli kumpulan jenayah tempatan yang terlibat dalam peperangan wilayah dengan kartel dadah lebih besar.
"Letupan itu dihasilkan secara rudimentari dan kurang berkuasa berbanding periuk api antipersonel yang digunakan oleh tentera di beberapa negara lain, meskipun ia tetap merbahaya," katanya.
Sejak akhir 2018, enam tentera lain turut terbunuh akibat peranti seumpama itu. -AFP