fb fb fb fb fb

Tiga polis dipenjara atas pembunuhan 'rapper' Canserbero

Mendiang Tyrone Gonzalez/ Instagram canserberomusic_

CARACAS, 18 Disember- Lima termasuk tiga anggota polis Venezuela dijatuhi hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun pada Selasa kerana terlibat dalam pembunuhan penyanyi rap, Canserbero pada tahun 2015.

Tyrone Gonzalez atau lebih dikenali sebagai Canserbero meninggal dunia pada usia 26 tahun selepas terjatuh daripada tingkat 10 sebuah bangunan apartmen di utara Venezuela.

Kelima-lima individu termasuk seorang usahawan muzik Venezuela dikenali sebagai Marcos Pratolongo dan seorang pakar forensik disabitkan dengan persekongkolan jenayah, persekongkolan dalam pembunuhan dan menghalang keadilan kerana membantu menutup kes pembunuhan tersebut.

Pada tahun kematiannya, majalah Rolling Stone menamakan Canserbero sebagai rapper terbaik berbahasa Sepanyol.

Pada mulanya, penyiasat menyatakan Canserbero membunuh diri selepas membunuh rakannya, Carlos Molnar dalam pergaduhan pisau. Namun, pada Disember 2023, bekas pengurusnya Natalia Amestica bersama abangnya Guillermo tampil mengaku membunuh Canserbero.

Amestica berkata dia memberi dadah dan menikam Canserbero sebelum bersama abangnya membuang mangsa menerusi tingkap.

Pasangan adik-beradik itu dijatuhi hukuman penjara 25 tahun pada Februari lepas. -AFP

SITI AISHAH MD ISA