BEIJING, 17 Jun - Sembilan orang maut dan 26 lagi cedera selepas satu letupan berlaku di sebuah kilang bunga api di luar bandar Changde, wilayah Hunan pada Isnin.
Menurut Radio Nasional China (CNR), letupan itu berlaku kira-kira pukul 8:30 pagi di sebuah kilang yang terletak di kawasan perkampungan.
Sehingga pukul 9:00 pagi Selasa, pasukan penyelamat mengesahkan jumlah korban dan mangsa cedera.
Kerja-kerja menyelamat masih dijalankan dalam keadaan mencabar dengan risiko letupan susulan dan kekurangan sumber air kerana lokasi terletak di kawasan pergunungan.
Menurut laporan CNR lagi, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan meriam air kawalan jauh untuk memadamkan kebakaran selepas lebih 20 jam operasi tanpa henti.
Kementerian Pengurusan Kecemasan China telah menghantar pasukan khas ke lokasi untuk memantau situasi.
Pihak berkuasa turut mengarahkan siasatan segera bagi mengenal pasti punca letupan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Letupan industri bukan sesuatu yang luar biasa di China berikutan penguatkuasaan keselamatan yang longgar.
Bulan lalu, satu insiden di sebuah loji kimia di Shandong mengorbankan lima orang.
Pada 2015, letupan besar di pelabuhan Tianjin menyebabkan lebih 170 maut dan ratusan lagi cedera. - AFP