fb fb fb fb fb

Ketegangan Israel-Iran, pemindahan warga asing dilakukan

Foto www.azernews.az

BAKU, 17 Jun - Lebih 700 warga asing telah dipindahkan keluar dari Iran sejak Israel melancarkan serangan ke atas negara itu minggu lalu, menurut pegawai kerajaan di Azerbaijan dan Armenia.

Seramai lebih 600 rakyat dari 17 negara telah keluar dari Iran melalui pos sempadan Astara di pesisir Laut Caspian.

Mereka diterbangkan pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Baku.

Antara mereka yang dipindahkan termasuk warga Rusia, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Jerman, Sepanyol, Itali, Serbia, Romania, Portugal, Amerika Syarikat, UAE, China dan Vietnam.

Walaupun Azerbaijan telah menutup sempadan daratnya sejak 2020 akibat Covid-19, negara itu membuka laluan sementara bagi membantu proses pemindahan ini.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Armenia, Ani Badalyan berkata, India turut memindahkan 110 rakyatnya keluar dari Iran melalui Armenia.

Poland pula merancang membawa keluar sebahagian kakitangan dari kedutaan mereka di Tehran melalui Azerbaijan.

Turkmenistan juga membenarkan kira-kira 120 orang, kebanyakannya warga Asia Tengah, melintasi wilayahnya.

Ketegangan tercetus sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan alasan mahu menghalang negara itu memiliki senjata nuklear (dinafikan oleh Tehran).

Setakat ini, sekurang-kurangnya 224 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 1,000 cedera di Iran akibat serangan tersebut.

Iran pula membalas dengan melancarkan serangan ke atas Israel yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa, menurut pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu. - AFP

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE