fb fb fb fb fb

Letupan di Iran, media AS lapor serangan Israel

Foto AFP

TEHRAN, 19 April- Media negara Iran melaporkan berlaku letupan di wilayah tengah Isfahan pada Jumaat, ketika pegawai Amerika Syarikat berkata Israel melakukan serangan balas terhadap negara itu.

Sistem pertahanan udara di beberapa bandar Iran diaktifkan, lapor media kerajaan. Perkara itu selepas penyiar rasmi negara itu melaporkan letupan kedengaran berhampiran bandar Isfahan.

Sebelum ini Israel memberi amaran akan melakukan serangan balas selepas Iran melepaskan ratusan peluru berpandu dan dron ke arah Israel pada hujung minggu.

Agensi berita Iran Fars melaporkan "tiga letupan" kedengaran berhampiran pangkalan udara tentera Shekari di barat laut wilayah Isfahan. Manakala jurucakap agensi angkasa lepas Iran, Hossein Dalirian berkata "beberapa" dron "berjaya ditembak jatuh".

"Tiada laporan mengenai serangan peluru berpandu buat masa ini," kata Dalirian menerusi X.

Memetik sumber kemudahan nuklear di Isfahan dilaporkan "selamat", lapor agensi berita Tasnim Iran.

ABC dan CBS News melaporkan serangan itu telah dilakukan oleh Israel namun ia tidak mendapat sebarang reaksi daripada White House atau Pentagon.

Menurut laporan CNN, seorang pegawai berkata sasaran serangan Israel bukan serangan nuklear.

Manakala tentera Israel memberitahu AFP, "kami tidak mempunyai komen buat masa ini."- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI