fb fb fb fb fb

Letupan bom tangan di bar Grenoble, 12 cedera dan dua kritikal

FOTO AFP

PERANCIS, 13 Februari - Sekurang-kurangnya 12 orang cedera apabila sebutir bom tangan meletup di sebuah bar di bandar tenggara Perancis, Grenoble pada Rabu, menurut pegawai tempatan.

"Seseorang masuk dan membaling bom tangan tanpa berkata apa-apa, kemudian melarikan diri," kata pendakwa raya Francois Touret-de-Courcy kepada wartawan di tempat kejadian.

Dua mangsa dilaporkan kritikal, katanya, sambil menambah bahawa "ramai pelanggan" berada di dalam bar ketika letupan berlaku sekitar jam 8:00 malam (1900 GMT).

Insiden itu berlaku di kawasan Olympic Village, yang dibina semasa Grenoble menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 1968.

Menurut Touret-de-Courcy, penyiasat masih belum mengenal pasti motif serangan itu tetapi tidak percaya ia adalah serangan pengganas.

"Tiada apa yang menunjukkan ia berkaitan dengan keganasan," katanya, menyifatkan insiden itu sebagai "tindakan keganasan melampau" yang mungkin berpunca daripada "persengketaan peribadi".

Pihak berkuasa juga sedang menyiasat kemungkinan kaitan insiden ini dengan aktiviti pengedaran dadah, tambahnya.

Beberapa saksi mendakwa suspek turut membawa senapang serangan Kalashnikov.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah yang sangat ganas ini," tulis Datuk Bandar Grenoble, Eric Piolle, di platform media sosial X.

Menteri Kesihatan Perancis, Yannick Neuder, dijadual melawat mangsa serta petugas perubatan di Hospital Universiti Grenoble pada pagi Khamis, menurut kenyataan pihak prefektur.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Bruno Retailleau akan melakukan lawatan ke Grenoble pada Jumaat untuk membincangkan isu keselamatan harian yang telah dijadualkan lebih awal. - AFP

TETITIA YUSOFF