fb fb fb fb fb

Lepaskan suar: Australia kecam tindakan jet pejuang China

Foto menunjukkan kapal Jiangkai Hengyang milik Tentera Laut Pembebasan Rakyat China, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan yang beroperasi di timur laut Australia / Foto AFP

SYDNEY, 13 Februari-Australia mengecam  tindakan sebuah jet pejuang China melepaskan suar berhampiran pesawat tentera udaranya ketika rondaan di Laut China Selatan.

Australia menyifatkan tindakan berkenaan sebagai "berbahaya".

Ketika kejadian, pesawat Australia itu sedang melakukan rondaan pengawasan "rutin" di kawasan perairan yang dipertikaikan pada 11 Februari, apabila sebuah pesawat tentera China menghampirinya, menurut kenyataan Jabatan Pertahanan Australia pada Khamis.

Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, berkata suar tersebut dilepaskan dalam jarak 30 meter atau (100 kaki) dari pesawat Australia, yang membawa kira-kira sembilan anggota.

Tiada kecederaan dilaporkan, tetapi Marles menegaskan bahawa tindakan itu mempunyai "potensi untuk menyebabkan kerosakan besar".

Beliau memberitahu Sky News bahawa pegawai Australia telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada rakan sejawat mereka di Beijing dan Canberra.

Bantahan Australia terhadap insiden itu juga berlaku ketika tiga kapal tentera laut China tiba di perairan timur laut tanah besar Australia.

Menurut pegawai pertahanan Australia, sebuah kapal peronda dan kapal perang China telah dikesan berhampiran "laluan maritim Australia", dengan sebuah kapal tangki bekalan turut mengikuti mereka.

Marles berkata bahawa kehadiran kapal-kapal China itu tidak berkaitan dengan insiden pesawat tetapi tentera laut Australia telah menghantar sebuah kapal peronda untuk mengekori pergerakan mereka.

"Australia menghormati hak semua negara untuk mengamalkan kebebasan pelayaran dan penerbangan mengikut undang-undang antarabangsa, sama seperti kami mengharapkan negara lain menghormati hak kami untuk melakukan perkara yang sama," kata Jabatan Pertahanan Australia.

"Pasukan pertahanan akan terus memantau aktiviti kumpulan kapal China di perairan Australia dengan gabungan aset udara dan maritim", katanya.

Sementara itu, Beijing menuduh pesawat Australia "menceroboh kedaulatan China dan membahayakan keselamatan negara".

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata bahawa "tanpa kebenaran China, pesawat tentera Australia dengan sengaja menceroboh ruang udara di sekitar Kepulauan Xisha", merujuk kepada nama yang digunakan Beijing untuk Kepulauan Paracel.

"Tindakan China mengusir pesawat itu adalah sah, berlandaskan undang-undang, profesional, dan terkawal," kata Guo.

Beliau juga menegaskan bahawa Beijing telah "mengemukakan bantahan rasmi" kepada Canberra dan menuntut supaya Australia "menghentikan tindakan pencerobohan dan provokasi".

Insiden berkenaan adalah yang terbaharu dalam rentetan pertembungan antara China dan Australia di kawasan udara dan perairan Asia yang semakin dipertikaikan.

Pada Mei tahun lalu, jet pejuang China dituduh mengganggu helikopter Seahawk Australia di ruang udara antarabangsa dengan melepaskan suar di laluan penerbangannya.

Pada 2023, kapal pemusnah China pula didakwa menggunakan gelombang sonar berkuasa tinggi terhadap penyelam tentera laut Australia yang berada di perairan Jepun, menyebabkan kecederaan ringan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, walaupun keputusan antarabangsa pada 2016 menyatakan bahawa tuntutan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD