fb fb fb fb fb

Indonesia tingkat amaran gunung berapi Lewotobi ke tahap tertinggi

Foto Fail/Reuters

JAKARTA, 13 Februari - Amaran bagi Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores ke tahap tertinggi ditingkatkan pada Khamis susulan peningkatan aktiviti seismik dan gunung berapi.

Ia sekali gus mengarahkan enam buah kampung untuk berpindah sebelum kemungkinan letusan berlaku.

Pada November lalu, gunung berapi berketinggian 1,703 meter itu meletus beberapa kali, mengorbankan sembilan orang, menyebabkan pembatalan berpuluh-puluh penerbangan antarabangsa ke Bali dan memaksa ribuan penduduk berpindah.

Ketua Agensi Geologi Indonesia, Muhammad Wafid, dalam satu kenyataan berkata pemantauan visual dan aktiviti seismik menunjukkan peningkatan mendadak dalam gempa bumi gunung berapi.

"Letusan berpotensi berlaku pada masa akan datang," katanya.

Amaran tersebut dinaikkan ke tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat mulai jam 3:00 pagi Khamis (1900 GMT Rabu), menurut Wafid.

Beliau turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku aliran lahar berbahaya, sejenis aliran lumpur atau serpihan yang berasal dari gunung berapi.

"Penduduk di sekitar Gunung Lewotobi Laki-Laki perlu berwaspada terhadap potensi banjir lahar di sungai-sungai yang berpunca dari puncak gunung ini sekiranya hujan lebat berlaku," tambahnya.

Pada sidang media kemudian, Wafid mengumumkan zon larangan diperluaskan daripada lima kepada enam kilometer dari kawah gunung tersebut.

"Ini melibatkan enam kampung yang mesti dipindahkan," katanya tanpa menyatakan jumlah penduduk yang terjejas.

Gunung Lewotobi Laki-Laki, yang bermaksud "lelaki" dalam bahasa Indonesia, mempunyai kembar bernama Lewotobi Perempuan, yang lebih tenang.

Indonesia, sebagai sebuah negara kepulauan yang luas, sering mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik (Pacific Ring of Fire). - REUTERS

TETITIA YUSOFF