fb fb fb fb fb

Rempuh empat sekeluarga sehingga mati, pemandu trak mungkin di penjara seumur hidup

Nathanial Veltman, mengaku dirinya terinspirasi dengan ketuanan kulit putih

MONTREAL, 5 Januari- Perbicaraan terhadap seorang lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh empat ahli keluarga Islam dengan traknya lebih dua tahun lalu bersambung pada Khamis.

Nathanial Veltman, 23 tahun yang mengaku dirinya terinspirasi dengan ketuanan kulit putih, didapati bersalah membunuh pada November. Bagaimanapun, dia telah menafikan dakwaan itu.

Pada 6 Jun 2021, Veltman merempuh keluarga itu dengan trak pikapnya di bandar Ontario di London, membunuh kedua-dua ibu bapa, nenek dan anak perempuan mereka yang berusia 15 tahun.

Satu-satunya mangsa yang terselamat, seorang budak lelaki berusia sembilan tahun, cedera parah.

"Ini bukan sahaja jenayah terhadap masyarakat Islam, tetapi penghinaan terhadap keselamatan semua warga Kanada," kata Tabinda Bukhari; anak perempuannya, Madiha Salman, 44 tahun, adalah antara yang terbunuh.

Seramai 70 orang yang rapat dengan mangsa akan memberi kenyataan semasa perbicaraan dua hari itu.

“Perasaan sedih, takut dan marah sering membelunggu berulang kali,” kata Amira Elgahawby, yang dilantik tahun lalu sebagai wakil khas Kanada dalam memerangi Islamofobia.

Di Kanada, keputusan bersalah atas pembunuhan terancang membawa hukuman minimum penjara seumur hidup, dengan kemungkinan parol selepas 25 tahun.

Menurut media tempatan, Hakim Renee Pomerance dari Mahkamah Keadilan Tinggi di Ontario akan menentukan sama ada tindakan Veltman itu dikategorikan sebagai keganasan atau tidak, sebelum mengumumkan hukumannya, bulan ini.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE