TOKYO, 29 Januari- Pelarian paling dikehendaki di Jepun, Satoshi Kirishima dilaporkan meninggal dunia hari ini, beberapa hari selepas media tempatan mendedahkan dia telah ditahan selepas hampir 50 tahun melarikan diri.
Kirishima dikaitkan dengan pengeboman berdarah oleh pelampau berhaluan kiri pada 1970-an.
Minggu lalu, media Jepun melaporkan, lelaki berusia 70 tahun itu mendedahkan identitinya selepas dia dimasukkan ke hospital dengan nama palsu untuk rawatan kanser.
Laporan itu mencetuskan sensasi di Jepun, di mana wajah mudanya dikenali secara meluas sehingga telah mengilhamkan kostum Halloween yang tular.
Tetapi polis masih bergelut menjalankan ujian DNA apabila lelaki yang dipercayai Kirishima meninggal dunia pagi tadi.
"Penyiasat meneliti dan menghapuskan petanda lalu, tetapi terdapat kemungkinan besar individu berkenaan sebenarnya Kirishima," kata sumber polis kepada akhbar Asahi.
Dilahirkan di Hiroshima pada Januari 1954, Kirishima merupakan mahasiswa universiti di Tokyo, di mana dia tertarik dengan politik radikal kiri.
Kirishima menyertai Barisan Bersenjata Anti-Jepun Asia Timur, salah satu daripada beberapa kumpulan militan yang aktif pada era itu bersama dengan Tentera Merah Jepun yang pernah digeruni atau Kumpulan Baader–Meinhof di Jerman Barat.
Kumpulan itu melakukan pengeboman di syarikat Jepun, termasuk satu di Mitsubishi Heavy Industries yang mengorbankan lapan orang.
Ia beroperasi dalam tiga sel, dengan nama samaran: 'Serigala', 'Taring Bumi' dan Scorpion'.
Pada April 1975, dia didakwa membantu memasang bom yang meletupkan bahagian bangunan di daerah Ginza yang mewah di Tokyo. Tiada siapa yang terbunuh.
Dia telah melarikan diri sejak itu.
TV Asahi dan saluran berita lain berkata dia telah menjalani kehidupan berganda selama bertahun-tahun, bekerja sebagai buruh binaan di bandar Fujisawa di wilayah Kanagawa, dengan nama alias Hiroshi Uchida.
Dia dibayar secara tunai dan berada bawah radar tanpa insurans kesihatan atau lesen memandu, kata laporan itu.
Di pejabat yang di mana lelaki itu dilaporkan bekerja, seseorang yang mengenalinya memberitahu TV Asahi bahawa suspek telah mengalami kurang berat badan berbanding gambar yang dikehendaki (wanted).
Lelaki yang dipercayai Kirishima mula menerima rawatan untuk kanser perut dengan perbelanjaannya sendiri, kata laporan itu.
Di sebuah hospital di bandar Kamakura, dia akhirnya mengaku bahawa dia adalah Kirishima yang berusia 70 tahun, tambah mereka.
"Saya mahu menemui kematian saya dengan nama sebenar," katanya kepada kakitangan di hospital itu, menurut NHK.-AFP