(Foto AFP)
LIMA, 8 Februari- Sebanyak 585 singa laut dan 55,000 burung liar mati di Peru akibat virus selesema burung dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut Agensi Perlindungan Kawasan Semula Jadi (Sernanp), ratusan ekor singa laut telah ditemukan mati di tujuh kawasan perlindungan marin.
"Penemuan kematian burung pula berlaku di lapan kawasan pantai. Burung yang mati termasuk burung undan, pelbagai jenis burung camar dan penguin. Hasil ujian makmal mendapati terdapat virus selesema burung di dalam bangkai singa laut," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Perkhidmatan Hutan dan Hidupan Liar Negara (SERFOR) Peru menasihati orang ramai agar menjaga haiwan peliharaan dengan baik.
Mereka juga dilarang melakukan sebarang sentuhan dengan singa laut dan burung terutama ketika berada di pantai.
Pada Disember lalu, pihak berkuasa Peru memusnahkan 37,000 burung di ladang ayam kerana selesema burung ekoran wabak sebelumnya menjejaskan hidupan liar.
Membunuh burung yang dijangkiti selesema itu adalah sebahagian daripada protokol biasa untuk mengawal wabak influenza burung. - AFP
(Foto AFP)