fb fb fb fb fb

Lebih 44,000 kanak-kanak disasar terima vaksin di Gaza

Gambar hiasan

GAZA, 14 November - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) dan kerjasama agensi lain sedang berusaha meneruskan kempen vaksin bagi mencapai lebih 44,000 kanak-kanak di Gaza yang tidak menerima vaksin akibat perang di wilayah itu.

UNICEF yang bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berharap dapat memberi vaksin kepada ribuan kanak-kanak yang terlepas rutin imunisasi, sokongan pemakanan dan pemantauan tumbesaran sepanjang dua tahun konflik berlaku.

Menurut petugas dalam kempen tersebut Mahmoud Saleg, kempen vaksinasi bermula pada 9 November dan akan diteruskan selama 10 hari sehingga 18 November.

"Ia menyasarkan kanak-kanak berumur antara satu hari hingga tiga tahun. Kami mengarahkan para ibu bapa ke pusat-pusat vaksinasi yang disediakan di seluruh Gaza,” katanya.

Pemberian vaksin tersebut untuk mengelakkan daripada jangkitan demam campak, polio dan radang paru-paru. -REUTERS

SITI AISHA MELISA YUHANIZ