fb fb fb fb fb

Lebih 300 peserta meriahkan Kejohanan Dunia T-Rex

Lebih 300 peserta berpakaian kostum dinosaur gergasi menyertai Kejohanan Dunia T-Rex pada Ahad

WASHINGTON, 1 Julai- Emerald Downs di Auburn, Washington yang terkenal dengan perlumbaan kuda, bertukar menjadi medan tawa dan sorakan apabila menganjurkan Kejohanan Dunia T-Rex pada Ahad, melibatkan lebih 300 peserta berpakaian kostum dinosaur gergasi.

Acara tahunan yang mencuit hati itu menampilkan perlumbaan kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak, semuanya dalam kostum Tyrannosaurus Rex yang besar dan melucukan.

Kategori wanita dimenangi oleh Linsey Lovrovich dari Gig Harbor, Washington yang berjaya mendahului peserta lain dalam kostum berwarna biru.

Sementara itu, perlumbaan akhir lelaki berlangsung sengit, namun Andrew Stuber dari Houston, Texas muncul juara dengan kelebihan "hidung" dinosaur tiba dahulu di garisan penamat.

Acara turut dimeriahkan dengan aksi udara apabila tiga "T-Rex" dari Skydive Snohomish melakukan terjunan dari ketinggian 5,000 kaki dan mendarat di trek perlumbaan, menambah elemen dramatik pada perlumbaan.

Perlumbaan unik itu dijangka disiarkan secara penuh menerusi saluran ESPN2 dalam musim panas ini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE