TEHRAN, 1 Julai- Iran menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) mengisytiharkan Israel dan Amerika Syarikat sebagai penceroboh terhadap negara itu.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dan Presiden Majlis Keselamatan PBB, Carolyn Rodrigues-Birkett, menegaskan bahawa UNSC perlu memikul tanggungjawab dalam menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Menurut agensi berita rasmi IRNA, Araghchi mendakwa Israel sengaja menyasarkan bangunan kediaman, orang awam dan infrastruktur awam, yang menurutnya merupakan pelanggaran secara terang-terangan terhadap Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa.
Beliau turut mendakwa Israel dan Amerika Syarikat telah melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran yang berada di bawah perlindungan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sekali gus melanggar Piagam PBB, Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), serta resolusi dan peraturan IAEA.
Menteri Luar Iran menegaskan bahawa UNSC harus bertindak terhadap 'penyerang' untuk mencegah 'jenayah' daripada berulang.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Kehakiman Iran mengesahkan serangan Israel ke atas Penjara Evin di Tehran pada 23 Jun telah mengorbankan 71 individu termasuk kakitangan penjara, banduan, ahli keluarga, serta penduduk berhampiran.
Pada 13 Jun lalu, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas beberapa kawasan strategik di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear. Serangan tersebut mengorbankan beberapa komander kanan tentera Iran, saintis nuklear dan orang awam.
Pada 22 Jun, tentera Amerika Syarikat (AS) mengebom tiga kemudahan nuklear Iran. Sebagai tindak balas, Iran menyerang Pangkalan Udara Al Udeid AS di Qatar.-REUTERS