fb fb fb fb fb

Israel cetus perang, kini tuding jari kononnya penyelamat Asia Barat

FOTO REUTERS

TEL AVIV, 1 Julai- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin dengan angkuh mendakwa Asia Barat akan berada dalam keadaan huru-hara tanpa kehadiran Israel.

Pemimpin rejim Israel itu berkata demikian ketika berucap di hadapan barisan kepimpinan tertinggi tentera rejim zionis.

Israel dilihat semakin tertekan, selepas konflik berskala besar yang tercetus sejak 13 Jun 2025, setelah Israel melancarkan serangan udara ke atas kemudahan nuklear Iran, mengorbankan beberapa komander tertinggi tentera serta orang awam.

Serangan itu juga disifatkan sebagai "tamparan paling hebat" kepada Tehran sejak Perang Iran-Iraq pada 1980-an.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu ke beberapa sasaran tentera, infrastruktur dan bandar utama Israel.

Konflik itu kemudian menyaksikan campur tangan Amerika Syarikat ke medan perang pada 22 Jun, apabila Washington melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan pada Selasa, 24 Jun lalu.

Namun, meskipun gencatan senjata telah berkuat-kuasa, ketegangan terbaharu itu terus menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan rantau Asia Barat dan risiko perluasan konflik melibatkan lebih banyak negara kuasa besar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE