fb fb fb fb fb

Lebih 250 migran berhimpit dalam lori menuju ke AS

Lebih ratusan migran cuba memohon suaka ke Amerika SYarikat melalui aplikasi CBP One selain mengibarkan bendera /FOTO AFP

MEXICO CITY, 11 November - Sekurang-kurangnya 250 pendatang tanpa dokumen ditemui berhimpit dalam sebuah lori treler dua tingkat ketika dalam perjalanan ke sempadan Amerika Syarikat.

Penemuan berlaku pada Jumaat lalu di negeri Chihuahua, Mexico, setelah pihak berkuasa dengan bantuan ejen imigresen berjaya mengesan lori terbabit di pusat pemeriksaan.

Pendatang dari pelbagai negara ini kini ditempatkan di pusat imigresen untuk pemeriksaan lanjut, manakala pemandu lori tersebut telah diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk siasatan lebih mendalam.

Setiap tahun, ribuan pendatang melintasi Mexico untuk melarikan diri daripada kemiskinan dan keganasan di negara asal mereka, dengan harapan untuk memulakan kehidupan baru di Amerika Syarikat.

Namun, penyeludupan dengan lori penuh sesak adalah satu daripada kaedah berbahaya yang digunakan oleh penyeludup manusia.

Pada tahun 2022, lebih 50 pendatang maut setelah ditinggalkan dalam lori yang panas melampau di Texas.

Selain menumpang lori, ada juga pendatang yang memilih untuk berjalan kaki dalam kumpulan besar meskipun mereka berdepan ancaman kelaparan, keletihan, dan kumpulan jenayah sepanjang perjalanan.

Keputusan pilihan raya terkini yang menyaksikan kemenangan Donald Trump turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendatang bahawa proses untuk mendapatkan suaka akan menjadi lebih sukar selepas beliau dilantik sebagai presiden.

Statistik dari kerajaan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa jumlah pendatang yang cuba menyeberangi sempadan secara haram menurun kepada kira-kira 54,000 pada September, berbanding hampir 250,000 pada Disember lalu.

Penurunan berlaku selepas Presiden Joe Biden mengeluarkan arahan untuk menutup sempadan kepada pencari suaka jika had harian telah dicapai. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN