fb fb fb fb fb

Lebih 200 warga Thailand dipindahkan dari Myanmar melalui China

Warga Thailand menaiki bas ke Mae Sai, Thailand pada 18 November selepas dipindahkan dari Myanmar [Penyerahan: Tentera Diraja Thailand/FOTO AFP

BANGKOK, 19 November - Lebih 200 rakyat Thailand yang terperangkap di tengah-tengah pertempuran yang semakin memuncak antara junta dan kumpulan etnik minoriti bersenjata di utara Myanmar, sedang dipindahkan ke Thailand melalui China, kata kementerian luar Thailand, hari ini.

Kementerian Luar Thailand, berkata sekumpulan 266 warga Thailand dan sebilangan besar warga Filipina serta Singapura sedang dipindahkan dari Laukkaing di utara negeri Shan ke sempadan Myanmar-China dengan bantuan pihak berkuasa Myanmar.

Katanya, kumpulan itu akan dibenarkan memasuki China kemudian diterbangkan dari bandar Kunming dengan dua penerbangan khas ke Bangkok, di mana mereka akan menjalani pemeriksaan bagi pemerdagangan manusia dan sebarang rekod jenayah.

Kementerian itu, bagaimanapun tidak menyatakan masa penerbangan penghantaran pulang, namun memaklumkan kumpulan itu dalam perjalanan ke sempadan China, hari ini.

Pihak berkuasa Thai sebelum ini, berkata segelintir daripada mereka terperangkap di Myanmar adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Kemungkinan mereka terbabit dengan kumpulan penipuan telekomunikasi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, Asia Tenggara, termasuk Myanmar, menjadi hab penipuan telekomunikasi dan jenayah dalam talian lain.

Dilaporkan ratusan ribu orang menjadi mangsa perdagangan kumpulan jenayah dan dipaksa bekerja di pusat penipuan serta operasi haram lain.

Pemindahan ke China berlaku sehari selepas 41 warga Thailand dihantar pulang melalui darat ke Thailand selepas penyelarasan antara pihak berkuasa Thailand dan tentera Myanmar. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN