fb fb fb fb fb

Lebih 2,500 ditahan dalam operasi pemerdagangan manusia - Interpol

Jurgen Stock / Foto AFP

LYON, 6 November – Operasi polis antarabangsa (Interpol) selama enam hari yang bertujuan membanteras pemerdagangan manusia telah membawa kepada lebih 2,500 tangkapan dan menyelamatkan lebih 3,000 mangsa.

Antara mereka yang diselamatkan termasuk kanak-kanak yang dipaksa bekerja di ladang di Argentina, migran di kelab malam di Macedonia Utara, individu yang dipaksa mengemis di Iraq, serta mereka yang dipekerjakan di rumah-rumah persendirian di seluruh Asia Barat, menurut kenyataan Interpol.

Operasi "Liberterra II" yang berlangsung dari 29 September hingga 4 Oktober itu berjaya menyelamatkan 3,222 mangsa pemerdagangan manusia dan mengenal pasti 17,793 migran tidak sah.

Pihak berkuasa turut memperkukuh kawalan di titik-titik sempadan strategik, memantau hampir 24,000 penerbangan, serta menempatkan pegawai di kawasan panas yang dikenali sebagai pusat tumpuan pemerdagangan dan penyeludupan.

Menurut data awal, hampir 8 juta pemeriksaan dijalankan terhadap pangkalan data Interpol, dengan 2,517 tangkapan dilakukan sepanjang minggu tersebut.

Daripada jumlah itu, 850 kes melibatkan tuduhan pemerdagangan manusia atau penyeludupan migran.

Menerusi kenyataan, Setiausaha Agung Interpol, Jurgen Stock menyatakan, “Dalam usaha mencari keuntungan, kumpulan jenayah terancang terus mengeksploitasi lelaki, wanita dan kanak-kanak dan ianya sering kali berulang."

Tambah Stock, “Keputusan operasi ini menunjukkan betapa besar cabaran yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa, dan hanya tindakan yang diselaraskan dapat menangani ancaman ini.”-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN