fb fb fb fb fb

Lebih 10,000 kanak-kanak alami kekurangan zat makanan akut di Bandar Gaza

Foto AFP

GENEVA, 17 September- Lebih 10,000 kanak-kanak memerlukan rawatan kerana kekurangan zat makanan akut di Bandar Gaza, menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF).

Jurucakap UNICEF, Tess Ingram menegaskan, keadaan menjadi lebih buruk apabila pemindahan secara paksa dan besar-besaran oleh rejim Zionis Israel terhadap keluarga di bandar berkenaan.

Beliau turut memberi amaran tentang kadar kekurangan zat makanan kanak-kanak yang semakin teruk.

"Kami menganggarkan 26,000 kanak-kanak di Gaza kini memerlukan rawatan untuk kekurangan zat makanan akut, termasuk lebih 10,000 di Bandar Gaza sahaja," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pada bulan Ogos, lebih satu daripada lapan kanak-kanak yang diperiksa di Gaza mengalami kekurangan zat makanan akut, "tahap tertinggi pernah direkodkan".

Di Bandar Gaza, angka itu adalah satu daripada lima.

Tambah beliau, pusat pemakanan di Bandar Gaza telah dipaksa ditutup minggu ini kerana arahan pemindahan dan peningkatan ketenteraan.

"Adalah tidak berperikemanusiaan untuk menjangkakan hampir setengah juta kanak-kanak, yang dipukul dan trauma dengan lebih 700 hari konflik yang tidak henti-henti, untuk melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat berbahaya" kata Ingram.

Kira-kira 40 peratus penduduk Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya, dianggarkan sejuta oleh PBB, telah kehilangan tempat tinggal.

Menurut Ingram, kira-kira 150,000 orang telah melarikan diri dari Bandar Gaza ke selatan sejak 14 Ogos.

Orang ramai masih bergerak "di dalam dan sekitar" Bandar Gaza, tidak dapat mencari perlindungan di tempat lain.

Sekurang-kurangnya 64,964 orang, kebanyakannya orang awam maut akibat serangan Israel, setakat ini. -AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello