fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 pemancing sertai pertandingan basmi ikan pemangsa di Sri Lanka

FOTO REUTERS

COLOMBO, 21 September - Lebih 1,000 pemancing dari seluruh Sri Lanka membanjiri bandar Wariyapola di Wilayah Barat Laut bagi menyertai pertandingan memancing yang bertujuan membanteras spesies ikan pemangsa invasif, giant snakehead, di Empangan Deduru Oya.

Pertandingan itu dianjurkan bersama tiga persatuan nelayan, Kementerian Perikanan serta sebuah kelab pemancing popular bagi menyokong usaha pemuliharaan ikan tempatan termasuk labeo heladiva, spesies ikan air tawar endemik Sri Lanka.

Menurut seorang nelayan, Sriyan Janaka, 46 tahun, hasil tangkapannya merosot daripada 15 hingga 20 kilogram sehari kepada hanya 2 hingga 3 kilogram dalam tempoh 10 tahun akibat ledakan populasi giant snakehead.

“Kami anjurkan acara ini kerana sumber pendapatan kami terjejas. Hasil tangkapan semakin berkurangan, puncanya ikan snakehead terlalu banyak,” katanya.

Ikan giant snakehead kebiasaannya dipelihara sebagai haiwan hiasan namun menjadi ancaman kepada ekosistem apabila dilepaskan ke sungai oleh pemilik.

Pegawai Pihak Berkuasa Pembangunan Akuakultur Nasional Sri Lanka, Upali Weerage berkata pertandingan itu bertujuan menangkap sebanyak mungkin ikan berkenaan selain memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak melepaskan ikan hiasan ke dalam saliran air kerana kesannya merosakkan alam sekitar.

Walaupun sambutan menggalakkan, hanya 22 ekor giant snakehead berjaya ditangkap. Namun, ramai peserta tetap bersemangat untuk terus menyertai pertandingan seumpamanya pada masa akan datang.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE