fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 pelajar Indonesia keracunan makanan

Pihak berkuasa tempatan kini mengisytiharkan darurat kesihatan di Bandung Barat/Foto REUTERS

JAKARTA, 25 September – Lebih 1,000 murid di Bandung dilaporkan mengalami keracunan makanan minggu ini selepas menikmati hidangan percuma di sekolah.

Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan program kerajaan bernilai berbilion dolar.

Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi berkata insiden berlaku di empat kawasan berbeza minggu ini, menjadikan kes keseluruhan 800 pelajar keracunan minggu lalu di Jawa Barat dan Sulawesi Tengah.

Kesemua hidangan terbabit dibekalkan di bawah program makanan berkhasiat percuma yang diperkenalkan Presiden Prabowo Subianto, yang menyasarkan 83 juta penerima menjelang hujung tahun ini.

Program itu kini melibatkan lebih 20 juta murid dengan peruntukan 171 trilion rupiah (AS$10.22 bilion), dan bakal meningkat dua kali ganda kepada AS$20 bilion pada tahun 2026.

Di Daerah Bandung Barat, lebih 470 murid jatuh sakit Isnin lalu selepas makan tengah hari percuma, manakala tiga lagi kejadian serupa berlaku Rabu, termasuk di Sukabumi, membabitkan sekurang-kurangnya 580 kanak-kanak.

“Kita perlu menilai pengendali program ini, dan paling penting ialah bagaimana menangani trauma pelajar selepas makan makanan berkenaan,” kata Mulyadi, yang mengakui hospital tempatan sesak.

Menurut Ketua Agensi Pemakanan Kebangsaan, Dadan Hindayana, dapur yang terlibat dalam kes keracunan telah digantung operasi.

Bagaimanapun pejabat Presiden Prabowo belum memberikan sebarang komen lanjut.

Dewan sukan di Bandung Barat dijadikan pusat rawatan sementara, dengan murid terbaring di katil lipat, malah sebahagian dirawat di luar hospital.

Sebelum insiden minggu ini, sekurang-kurangnya 6,452 murid di seluruh Indonesia dilaporkan mengalami keracunan sejak program itu bermula Januari lalu, menurut badan pemikir Network for Education Watch.

Mulyadi menjelaskan dapur yang membekalkan makanan menanggung beban terlalu ramai pelajar dan jarak jauh dari sekolah menyebabkan makanan dimasak awal hingga basi ketika dihidangkan.

Pihak berkuasa tempatan kini mengisytiharkan darurat kesihatan di Bandung Barat bagi membolehkan kerajaan wilayah menyalurkan peruntukan segera untuk menguruskan kes keracunan beramai-ramai itu. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN