fb fb fb fb fb

Lawatan Putera Mahkota Arab Saudi ke Jepun ditangguh

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman/ FOTO REUTERS

TOKYO, 20 Mei - Lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman ke Jepun terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan bapanya, Raja Salman yang tidak baik, kata Jurucakap tertinggi kerajaan Jepun.

Raja Salman, 88 tahun kini sedang mengalami jangkitan paru-paru dan sedang menjalani rawatan antibiotik.

Putera Mohammed dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Fumio Kishida dan Maharaja Jepun, yang merupakan lawatan pertamanya ke Jepun sejak 2019.

"Lawatan Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Mohammed ke Jepun akan diselaraskan semula antara kedua-dua negara," kata Hayashi.

Sumber Arab Saudi memberitahu AFP pada Isnin delegasi dari Arab ke Jepun akan diteruskan bagi mengadakan beberapa rundingan.

Arab Saudi sebelum ini merahsiakan keadaan kesihatan Raja Salman, bagaimanapun pada April Mahkamah Diraja mendedahkan bahawa baginda telah dimasukkan ke Hospital Pakar King Faisal untuk 'pemeriksaan rutin.'

Pada 2022 baginda dimasukkan ke hospital selama seminggu bagi menjalani kolonoskopi.

Kishida mengunjungi Arab Saudi pada Julai lalu dan mengadakan perbincangan mengenai tenaga, terutamanya mengenai tenaga hijau dan penyahkarbonan.

Kali ini isu keselamatan tenaga dan tenaga bersih, kepelbagaian ekonomi dan hal ehwal luar negara akan menjadi agenda dalam perjumpaan itu, kata kementerian luar.

Penganalisis berkata Putera Mohammed, juga akan mencari lebih banyak peluang dalam usahanya meningkatkan imej Arab Saudi. - AFP

TETITIA YUSOFF