fb fb fb fb fb

Lawatan pertama Presiden Perancis ke Jerman

Emanuel Macron/REUTERS

PARIS, 26 Mei- Presiden Perancis Emanuel Macron tiba di Jerman pada Ahad untuk lawatan negara selama tiga hari diikuti mesyuarat kabinet dua hala menjelang pilihan raya parlimen Kesatuan Eropah (EU) bulan depan.

Lawatan Macron ke ibu kota Berlin, Dresden di timur dan Muenster di barat adalah lawatan negara Presiden Perancis yang pertama ke Jerman dalam tempoh 24 tahun.

Lawatan itu dilihat sebagai meningkatkan hubungan Jerman-Perancis yang mendorong penggubalan dasar EU, pada masa sama mendepani cabaran besar bagi Eropah: daripada perang Ukraine hingga kemungkinan pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) pada bulan November.

Macron dan Canselor Jerman Olaf Scholz memiliki gaya kepimpinan yang sangat berbeza dan mempunyai pendapat terbuka mengenai isu-isu berkenaan pertahanan kepada tenaga nuklear sejak kedua-duanya mengambil alih kuasa pada akhir 2021.

Bagaimanapun, mereka telah mencapai sepakat dalam pelbagai bidang termasuk pembaharuan fiskal kepada perubahan kepada subsidi pasaran kuasa sekali gus membenarkan EU membuat perjanjian, dan membentuk kesefahaman.

Lawatan itu adalah "percubaan di peringkat politik tertinggi untuk menunjukkan bahawa hubungan itu berfungsi," kata Pengarah Urusan Eropah di kumpulan pemikir Kumpulan Eurasia, Mujtaba Rahman.

"Tetapi masih terdapat jurang asas berkenaan persoalan utama di EU," katanya.

Jurang utama ialah pertahanan Eropah, khususnya berkenaan sekiranya Trump memenangi pilihan raya presiden AS pada 5 November depan. Pakar pertahanan melihatnya sebagai sekutu yang sukar diramalkan untuk Eropah berbanding pesaingnya dari Parti Demokrat Presiden AS Joe Biden.

Perancis, yang mempunyai senjata nuklear mendorong Eropah supaya lebih berdikari dalam hal pertahanan namun tidak berpuas hati dengan keputusan Jerman untuk membeli kebanyakan peralatan AS untuk pertahanan udara Eropah.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI