fb fb fb fb fb

Presiden Taiwan tawar rundingan sekali lagi

Lai Ching-te/REUTERS

TAIPEI, 26 Mei- Presiden Taiwan Lai Ching-te menawarkan rundingan sekali lagi kepada China pada Ahad berikutan dua hari latihan ketenteraan berhampiran pulau itu.

Lai berharap kedua-duanya dapat meningkatkan persefahaman dan perdamaian bersama-sama.

China, menjalankan latihan ketenteraan pada Khamis dan Jumaat dan ia dilakukan selepas ucapan perasmian Lai pada Isnin.

China berulang kali mengecam Lai dan mengatakan dia merupakan "pemisah" namun Lai menolak tuntutan kedaulatan Beijing dan berkata hanya rakyat Taiwan boleh menentukan masa depan mereka.

Lai berulang kali menawarkan rundingan tetapi ditolak selain menyeru China untuk "berkongsi tanggungjawab berat kestabilan serantau dengan Taiwan". Beliau menyatakan hasrat itu ketika mesyuarat Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah di bandar selatan Tainan.

Dalam pada itu, Lai yang memenangi pilihan raya pada Januari, berkata, beliau juga "berharap untuk meningkatkan persefahaman dan perdamaian dengan China melalui pertukaran dan kerjasama, mewujudkan manfaat bersama-sama dan bergerak ke arah kedudukan keamanan dan kemakmuran bersama".

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat dan negara-negara lain kerana turut menyatakan kebimbangan mereka mengenai latihan ketenteraan China.

"Masyarakat antarabangsa tidak akan menerima mana-mana negara yang mencipta gelombang di Selat Taiwan dan menjejaskan kestabilan serantau," tambah Lai.

Kerajaan Taiwan mengutuk latihan yang dilakukan China dan sejak empat tahun lalu, China mengadakan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI