FOTO AFP
MUMBAI, 6 Februari- Penyanyi legenda Bollywood, Lata Mangeshkar, meninggal dunia pada usia 92 tahun.
Beliau meninggal dunia pada Ahad di Hospital Breach Candy, di sini, selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 11 Januari lalu selepas disahkan positif COVID-19 dan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
"Saya sedih tidak terkata," tulis Perdana Menteri India Narendra Modi di Twitter.
"Lata Didi yang baik hati dan penyayang telah meninggalkan kita. Dia meninggalkan kekosongan dalam negara kita yang tidak dapat diisi.
"Generasi akan datang akan mengingatinya sebagai seorang yang teguh dalam budaya India, yang suaranya merdu dan mempunyai keupayaan yang tiada tandingan untuk memukau," tulis Modi mengenai Mangeshkar.
Mangeshkar dilahirkan pada 28 September 1929 di pusat bandar Indore dan memulakan kerjayanya pada usia 13 tahun, selepas bapanya meninggal dunia dan beliau mengambil tugas membantu ibunya menyara menyara empat adik-beradiknya.
Lima tahun kemudian, beliau mendapat peluang pertama merakamkan lagu untuk filem Aapki Sewa Mein.
Penyanyi bersuara lunak merdu yang dikenali sebagai 'The Nightingale of India' itu sudah merakamkan lebih 30,000 lagu dalam 36 bahasa termasuk Hindi, Tamil, Malayalam dan Bengali untuk lebih 1,000 filem.
Sumbangan utama Mangeshkar sangat besar kepada industri muzik klasik termasuk lagu filem, ghazal bhajans, pop dan banyak genre lagi.
Jumlah lagu dirakamkan antara 1974 hingga 1991 menjadikan namanya tercatat dalam Guinness Book of World Records.
Lagu-lagunya turut dimainkan pada sambutan Hari Kebangsaan India setiap tahun.- AFP