PARIS, 29 Jun - Perancis menguatkuasakan larangan merokok di pantai dan taman awam bagi melindungi kanak-kanak bermula Ahad.
Larangan turut berkuat kuasa di stesen bas, kawasan berhampiran perpustakaan, kolam renang dan sekolah, seperti diterbitkan dalam warta rasmi kerajaan pada Sabtu.
Menurut Kementerian Kesihatan Perancis, pihaknya akan mengumumkan jarak minimum dibenarkan merokok di kawasan ini dalam masa terdekat. Pelanggar terhadap larangan itu boleh dikenakan denda 135 euro hingga 700 euro.
"Tembakau mesti dijauhkan dari tempat di mana terdapat kanak-kanak. Taman, pantai dan sekolah...ini merupakan tempat untuk kanak-kanak bermain, belajar dan bernafas. Bukan untuk merokok," kata Menteri Kesihatan dan Keluarga, Catherine Vautrin.
"Ini adalah satu lagi langkah ke arah 'Generasi Bebas Tembakau 2032'," tambahnya.
Sementara itu, Pakar Pulmonologi, Yves Martinet berpandangan, langkah itu tepat pada masanya tetapi belum mencukupi.
Ini kerana undang-undang baharu itu tidak terpakai kepada rokok elektronik atau vape. Tegasnya untuk langkah yang lebih berkesan larangan tersebut perlu lebih menyeluruh.
"Untuk langkah yang berkesan, ia mesti jelas...tiada penggunaan produk yang mengandungi tembakau atau nikotin di khalayak ramai," kata Martinet.
Menurut statistik, pendedahan pasif kepada asap tembakau di Perancis menyebabkan 3,000 hingga 5,000 kematian setiap tahun. - AFP